PENTADBIRAN KUIN PERLU LEBIH TERBUKA DAN PROFESIONAL



Pada 15 Mei 2011 yang lalu, 6 mahasiswa  yang dikenakan pelbagai tuduhan berhubung demonstrasi tahfiz  telah menerima surat arahan untuk hadir ke prosiding perbicaraan tatatertib yang diadakan pada 25 Mei 2011 (Rabu), jam 9.00 pagi, bertempat di Bilik Mesyuarat Kulliyyah Teknologi Maklumat. Setelah perbicaraan dijalankan, 6 OKT tersebut telah dijatuhkan hukuman gantung pengajian serta-merta dan denda oleh pihak jawatankuasa tatatertib. Mahasiswa berkenaan adalah:

1. Mohd Faiz bin Mohd Arshad digantung pengajian 2 semester
2. Mohd Azlan bin Md Zain digantung pengajian 1 semester
3. Mohd Aiman bin Che Razab digantung pengajian 1 semester
4. Ahmad Remi bin Mohd Arof digantung pengajian 1 semester
5. Zukhilatif bin Marzuki digantung pengajian 1 semester
6. Mohd Farhan bin Mohamad Baharin  didenda RM 100

Susulan daripada itu, mereka telah diarahkan oleh pihak pentadbiran Insaniah untuk mengikuti larangan yang dibuat antaranya :
1. Mereka dilarang masuk ke kampus Insaniah dan di mana-mana bahagian kampus yang lain termasuklah di kolej kediaman sekalipun.
2. Poster wajah mereka telah ditampal seperti penjenayah besar di Kampus Insaniah dan juga di kolej kediaman pelajar insaniah.
3. Surat penggantungan mereka pula hanya diletakkan di pondok pengawal keselamatan, dan mereka telah diarahkan untuk mengambil surat itu di pondok pengawal.

Sehubungan dengan apa yang terjadi, Majlis Perwakilan Mahasiswa Insaniah melahirkan rasa simpati terhadap 6 OKT ini. Mereka ini dilihat seperti melakukan kesalahan jenayah yang  besar sehinggakan gambar mereka dilekatkan di dalam kampus. Secara rasionalnya, mahasiswa melihat apabila 6okt ini diperlakukan sedemikian rupa, ia akan melahirkan rasa kekecewaan kepada mahasiswa sebenarnya. Mahasiswa bukan bertindak untuk mengeruhkan keadaan yang sedia ada, tetapi apabila ini berlaku, ianya seperti menindas sebelah pihak dan boleh mengeruhkan lagi keadaan dengan tindakan tersebut.

Hukuman yang dijatuhkan kepada 6 OKT hanyalah digantung semester sahaja , tidak ada di dalam mana mana bahagian pada surat atau buku tatatertib yang menghalang mereka untuk berada di dalam kampus.

Kami di pihak MPM amat mengharapkan cara penyelesaian yang baik dari pihak pentadbiran agar isu ini dapat diselesaikan. Mereka masih pelajar KUIN dan hanya digantung pengajian sahaja, dan mereka masih dalam tempoh rayuan. Mereka masih mempunyai hak untuk masuk ke dalam kawasan kampus sekurang-kurangnya sebagai pelawat. Jika orang luar yang bukan dari kalangan pelajar dan staf KUIN boleh memasuki KUIN kenapa tidak 6 OKT?. Disini mahaiswa bukan beerti untuk bersikap lebih pandai dari pihak pentadbiran, tetapi mahasiswa melihat penyelesaian dengan cara yang baik masih boleh dilaksanakan.

Terbaru. Pada 16 Jun 2011, 6 OKT ini telah diarah untuk hadir ke prosiding rayuan tatatertib. Mereka terpaksa menunggu hampir 2 jam, bagi prosiding dimulakan dan dalam keadaan sebaik sahaja selesai dihadapkan ke jawatankuasa rayuan, 6 mahasiswa ini telah diarahkan serta merta oleh pengawal keselamatan untuk segera keluar dari kampus Insaniah. Bebarapa rakan yang melihat kejadian pada hari itu, melahirkan rasa simpati dan teramat sedih dengan apa yang berlaku. Di mata kami sebagai mahasiswa, 6 OKT ini telah banyak memperjuangkan isu kebajikan mahasiswa dan mereka cuba untuk memberi yang terbaik kepada seluruh mahasiswa KUIN. Apabila dinilai dengan layanan sebegini kepada mereka, kami menjadi kecewa. Bukan beerti kami memburukan pihak pentadbiran, tetapi kami merasakan perkara tersebut adalah tidak wajar buat mereka.

KUIN mesti lebih bersifat terbuka dan professional sebagai IPT Islam di dalam menghadapi isu ini dan kami mahasiswa menyokong penuh hasrat KUIN untuk menjadi sebuah universiti Islam yang unggul. Mahasiswa Islam amat menginginkan sistem pendidikan dan pembelajaran Islam yang sebenar dapat dilaksanakan di KUIN dan bukan hanya sebagai impian.

Mahasiswa hanya menjalankan tugas mereka selaku pelajar dalam menuntut ilmu, bahkan mereka juga perlu bertindak mengangkat dan memperjuangkan suara kebajikan mahasiswa lain. Ini adalah tugas berat yang perlu di pikul oleh mana-mana majlis perwakilan mahasiswa yang telah dilantik dan ianya di lihat sebagai satu perjuangan bagi MPM sesi kali ini.

Kami barisan Majlis Perwakilan Mahasiswa Insaniah 2010/11 melahirkan rasa simpati terhadap 6 mahasiswa ini dan berharap agar pihak pentadbiran dapat menarik balik larangan 6 OKT berada di dalam kampus KUIN. Kami juga berharap prosedur rayuan dapat berjalan dengan baik dan memberikan keputusan yang baik terhadap 6 okt ini. Wallahua'lam.

Mohd Firdaus Bakar 
Timbalan Presiden 
Majlis Perwakilan Mahasiswa KUIN.


sumber http://mpminsaniahkuin.blogspot.com/